Tadabbur dan Tazakkur #5
Santuni Dia
Surah al-Baqarah
قَوۡلٌ۬ مَّعۡرُوفٌ۬ وَمَغۡفِرَةٌ خَيۡرٌ۬ مِّن صَدَقَةٍ۬ يَتۡبَعُهَآ أَذً۬ىۗ وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَلِيمٌ۬
(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. 2:263
Ayat ini menceritakan tentang memberikan sesuatu kepada insan yang memerlukan. Ayat ini bukan sekadar menceritakan soal berapa banyak sedekah ataupun infaq yang telah diberikan malah ianya lebih kepada sikap ataupun adab ketika memberi. قَوۡلٌ۬ مَّعۡرُوفٌ۬ bermaksud perkataan yang baik. Iaitu bercakap lah dengan baik. وَمَغۡفِرَةٌ bermaksud pemberian maaf. Perkataan yang baik dan pemberian maaf adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan tindakan yang menyakitkan. Apakah tindakan yang menyakitkan itu? Allah sebut dalam ayat yang berikutnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.” 2:264
Sungguh perbuatan memberi ini dapat membersihkan hati, membersihkan harta, menenangkan jiwa. Allah sebut pada ayat yang sebelumnya, “Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita.” 2:262
Pada ayat terakhir Allah menyebut وَٱللَّهُ غَنِىٌّ حَلِيمٌ iaitu Allah maha kaya lagi Maha Penyantun. Dalam tafsir Fil Zillal Al-Quran Sayyid Quttub menceritakan contoh kejadian beras yang memerlukan sumber cahaya matahari, air dan tanah untuk hidup. Dan perkara ini di luar batas manusia untuk melengkapkan kejadian sebutir beras. Sebagai umat islam yang percaya bahawa rezeki itu ditangan Allah, maka apa yang kita ada itu adalah anugerah daripada Allah. Maka itu, manusia Cuma berinfaq dan bersedekah dengan harta pemberian daripada Allah. Manusia itu Cuma berusaha bekerja untuk mendapatkan hasilnya. Diakhir ayat Allah Ya Halim mengajar manusia tatacara untuk berinfaq atau bersedekah. Supaya si pemberi tidak meninggi diri dan si penerima tidak disakiti. Bagaimana Allah Ya Halim menyantuni hambanya? Walau banyak mana sekalipun manusia yang tidak bersyukur pada Allah Ya Halim, Dia tetap juga memberi rezeki yang banyak. Malah Allah Ya Halim tidak membutuhkan manusia untuk bersyukur kepadaNya. Jika pemberi mengungkit ataupun menyakiti hati, Allah Ya Halim tetap juga memberi rezekiNya. Tidak pernah kita merasakan situasi dicatu makanan selama sebulan sebab telah menyakiti hati insan lain dalam memberi.
Hadith Rasulullah, “ sesungguhnya pada diri kamu ada dua perkara yang Allah sukai, iaitu kebijaksanaan dan kemurahan.” (Sahih Muslim)
Jabir r.a berkata, Rasulullah bersabda, “ setiap kebaikan adalah bersedekah” (HR Bukhari)
Comments
Post a Comment