Tadabbur dan Tazakkur #4

Maafkan Diriku


Surah al-A’raaf

خُذِ ٱلۡعَفۡوَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡعُرۡفِ وَأَعۡرِضۡ عَنِ ٱلۡجَـٰهِلِينَ
“Terimalah apa yang mudah engkau lakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”7:199

Ketika ayat ini diturunkan, Rasulullah meminta penjelasan daripada Jibril. Kemudian Jibril menjawab, ‘Sesungguhnya Allah memerintahkan engkau agar memaafkan meskipun terhadap orang yang menganiaya engkau, memberi kepada orang yang menahan pemberiannya dan menyambung tali silaturrahim meskipun kepada orang yang memutuskannya.’

Ada tiga jus akhlaq mulia yang amat penting dalam hadith Rasulullah iaitu
1. Berkomunikasi dengan manusia untuk membentuk silaturrahim.
2. Bersikap pemaaf kepada sesiapa sahaja.
3. Bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

Al-quran ini diturunkan sebagai panduan dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. Sebab itu, dalam ayat al-quran banyak sekali Allah menyebut perkataan ‘amanu,yu’minun,amanna,bimukminin’ dimana semua memiliki maksud yang sama iaitu orang-orang yang beriman, percaya. Ada 879 ayat dalam al-quran berkaitan perkataan amanu ini. Saya mengaku saya beriman pada Allah, jadi bila Allah bercakap dengan saya bermakna ini adalah suruhan. Dan Allah sedang sampaikan sesuatu pada saya. Saya perlu melaksanakan. Jika tidak saya akan tergolong dalam kumpulan yang lagi satu iaitu orang-orang yang bodoh. Sangat sentap dan menyentapkan. Moga Allah jauhkan dari saya.

Didalam al-Quran ada menjelaskan tentang sifat memaafkan ini. Ia menggunakan dua istilah iaitu al-‘afwu dan ash-shafhu. Al-‘afwu yang memberi maksud memaafkan disebut dalam al-Quran sebanyak 35 kali. Salah satu contoh ayat, ‘….dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.” Surah Ali-Imran 3:152. Allah, banyak mana pun dosa saya, Allah yang Maha Pemaaf sudahpun memaafkan saya. Prinsip akhlak yang mulia ini perlu diterapkan dalam institusi kekeluargaan. Sangat besar peranan institusi ini kerana ianya membentuk masyarakat. Sebagai contoh yang baik untuk kita amalkan dalam ayat ini ada tiga panduan yang boleh dicontohi, “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” Surah at-Tahgabun 64:14

Perkataan ash-shafhu yang memberi maksud melupakan kesalahan pula disebut sebanyak 8 kali dalam al-Quran. Contohnya, “serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah an-Nur 24:22

Kesimpulannya Al-Qurtubi menjelaskan al-‘afwu tidak mengambil tindakan membalas perlakuan orang lain terhadapnya. Ash-Shafhu, berusaha menghilangkan kesan dan perasaan dalam hati. Mengapa al-‘afwu lebih banyak disebut dalam al-quran berbanding ash-shafhu? Yang mana satu sifat Allah?
Allah menciptakan manusia untuk saling berinteraksi dan berkomunikasi. Bila berinteraksi dengan manusia pasti akan ada konflik atau silap faham dan sebagainya. Apabila perkara ini berlaku, sang syaitan mengambil peluang untuk terus menyucuk-nyucuk hati manusia untuk berbalah, berdengki, bergaduh, bermusuh dan sebagainya. Sang syaitan tidak akan sekali sekala meninggalkan manusia. Manusia sahaja yang sering lupa dengan kesetiannya. Manusia itu punyai pilihan untuk terus berbaik dan berlapang dada serta memaafkan atau terus bermusuh berpanjangan yang sangat menderitakan. Allah itu punya nama yang baik, al-‘afwu yang dibincangkan pada awal tadi. Sedosa banyak mana pun hambanya, tetap juga dimaafkan dan diampunkan. Inikan pula saya manusia yang lemah dan tidak punyai kuasa untuk menghukum manusia itu. Lagi-lagilah perlu banyak memaafkan dan tidak berdendam.

Didalam hadith diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda, “ pintu-pintu surge dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Kemudian ampunan diberikan kepada semua hamba yang tidak menyekutukan Allah, kecuali seorang hamba yang ada permusuhan antara dirinya dan saudaranya. Maka Allah memerintahkan kepada malaikat, “Tangguhkan bagi kedua orang itu hingga keduanya berbaikkan. Tangguhkan bagi kedua orang itu hingga keduanya berdamai.” (HR Muslim)

Moga kita amalkan selalu untuk memaafkan saudara sesama Muslim. Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, berilah ampunan kepada semua orang Islam, baik lelaki mahupun perempuan dan kepada semua mukmin baik lelaki mahupun perempuan.

Comments

Popular posts from this blog

Doa agar Al-Quran jadi sahabat karib

Koleksi Kanvas Tadabbur Tazakkur

I.B.R.A.H : Pemudi Proaktif Dalam Al-Quran