Abu Sufyan bin Haris
Abdurrahman
bin Sabit meriwayatkan, bahawa Sufyan bin Haris adalah saudara sesusuan
Rasulullah SAW dari seorang wanita yang sama iaitu Halimah As-Sa’diyah. Di
samping itu dia pun sudah sangat biasa bergaul dengan Rasulullah SAW kerana dia
memang sebaya dengan baginda.
Ketika
baginda diutus oleh Allah SWT sebagai Rasul-Nya, maka Abu Sufyan pun
memusuhinya dengan permusuhan yang tidak pernah dilakukan oleh seseorang
terhadap diri baginda. Dia menyerang Rasulullah SAW begitu juga dengan
sahabat-sahabatnya. Bahkan selama dua puluh tahun dia menjadi musuh Rasulullah
SAW saling serang menyerang dengan kaum Muslimin.
Dalam setiap
kali peperangan yang dilakukan oleh orang kafir Quraisy dengan kaum Muslimin,
Abu Sufyan bin Haris tidak pernah ketinggalan, sehingga akhirnya Allah SWT
berkenan memasukkan sinar Islam dalam lubuk hatinya. Abu Sufyan bin Haris
berkata: “Siapakah yang akan menjadi temanku, sedangkan kehadiran Islam semakin
hari semakin kukuh?” Selepas itu ia menemui isteri dan anak-anaknya, lalu ia berkata:
“Wahai isteri dan anak-anakku, bersiap-siaplah untuk keluar, kerana Muhammad
tidak lagi akan datang!”
Anak-anak dan isterinya
menjawab: “Sepatutnya telah terlalu awal lagi engkau menyedari, bahawa
orang-orang Arab bahkan begitu juga orang-orang di luar bangsa Arab telah
mengikutinya, sedangkan kamu sendiri masih tetap memusuhinya. Sepatutnya
engkaulah orang yang pertama sekali membantunya!”
Kepada pelayannya Abu Sufyan
memerintahkan: “Cepat bawa kemari unta dan kuda!”
Setelah unta
dan kuda disiapkan, Abu Sufyan bersama dengan isteri dan anak-anaknya pun
berangkat, hingga akhirnya mereka sampai di Abwa’, sedangkan pasukan pertama
Rasulullah SAW sudah terlebih dahulu sampai di kota itu. Maka Abu Sufyan pun
menyamar kerana takut di bunuh oleh pasukan Rasulullah SAW dan hanya berjalan
kaki kira-kira satu mil.
Pada waktu
itu pasukan Rasulullah SAW sudah mulai datang membanjiri kota Abwa’. Maka Abu
Sufyan pun menyingkir kerana merasa takut dengan sahabat-sahabat baginda.
Ketika Rasulullah SAW sudah mulai kelihatan yang sedang diiringi oleh para
rombongan, Abu Sufyan pun segera berdiri di hadapannya. Ketika baginda
melihatnya, ia langsung memalingkan mukanya ke arah lain. Abu Sufyan pun
berpindah tempat ke arah baginda memalingkan muka. Namun baginda tetap terus
memalingkan mukanya ke arah yang lain pula.
Dalam hati
Abu Sufyan berkata: “Sebelum aku sampai kepadanya, mungkin aku akan mati
terbunuh, akan tetapi aku ingat akan kebaikan dan kasih sayangnya, justeru
itulah rasa harapan masih tetap ada dalam hatiku. Dari semenjak dulu lagi aku
berkeyakinan, bahawa Rasulullah berserta para sahabatnya akan sangat bergembira
bila aku masuk Islam, kerana adanya tali persaudaraanku dengan baginda.”
Melihat
Rasulullah SAW berpaling dari Abu Sufyan, maka kaum Muslimin pun berpaling
darinya. Dia melihat putera Abu Quhafah iaitu Abu Bakar Siddik pun berpaling
darinya. Abu Sufyan memandang ke arah Umar yang sedang bangkit amarahnya, dalam
keadaan marah Umar berkata: “Wahai musuh Allah, kamu adalah orang yang selalu
menyakiti Rasulullah SAW dan para sahabatnya! Bahkan permusuhanmu itu terhadap
umat Islam telah diketahui orang baik yang berada di belahan dunia Timur
mahupun Barat!”
Mendengar
ungkapan dari Umar tersebut, maka Abu Sufyan berusaha untuk membela dirinya.
Akan tetapi usahanya itu tidak berhasil, kerana Umar meninggikan suaranya dan
Abu Sufyan merasakan pada saat itu bahawa dirinya sudah terkepung oleh hutan
belukar manusia yang merasa gembira atas apa yang terjadi pada dirinya.
Dalam keadaan demikian Abu
Sufyan berkata: “Wahai bapa saudaraku Abbas, dulu aku pernah datang ke rumahmu
serta berharap bahawa Rasulullah SAW akan merasa bergembira jika aku masuk
Islam, kerana antara diriku dengan dirinya ada pertalian saudara, di samping
itu kami keduanya dari kalangan keluarga terhormat. Akan tetapi kenyataan
sebagaimana yang engkau saksikan sendiri wahai bapa saudaraku, mereka
seakan-akan tidak mahu menerima kehadiranku! Untuk itu aku bermohon kepadamu
wahai bapa saudaraku, supaya engkau berkenan mengajak Muhammad berunding
mengenai diriku, sehingga ia redha terhadapku!”
Bapa saudaranya menjawab:
“Tidak, demi Allah, setelah aku menyaksikan semuanya ini, sepatah katapun aku
tidak mahu berunding dengannya, kecuali jika ada alasan yang lebih kuat!”
Abu Sufyan bertanya: “Wahai
bapa saudaraku, dengan siapa lagi aku harus mengadu?”
“Pergilah kamu mengadu ke
sana,” jawab bapa saudaranya.
Kemudian Abu Sufyan menemui Ali
bin Abi Talib serta mengajaknya berbicara. Akan tetapi jawapan yang diberikan
oleh Ali sama saja dengan jawapan bapa saudaranya Abbas. Sehingga akhirnya ia
terpaksa lagi pergi kepada bapa saudaranya Abbas serta memohon kepadanya: “Aku
mohon kepadamu wahai bapa saudaraku, sudilah kiranya engkau mencegah
orang-orang mencaci makiku.”
Abbas bertanya: “Siapa
sebenarnya orang yang mencaci makimu itu?”
Abu Sufyan menjelaskan ciri-ciri orangnya: “Dia adalah orang yang berkulit kuning langsat, tubuhnya agak pendek, gemuk dan di antara kedua matanya terdapat bekas luka.
Abbas menjawab: “Dia adalah
Nu’aiman bin Haris An-Najjari.”
Maka Bapa saudaranya Abbas pun
menemuinya dan berkata: “Wahai Nu’aiman, Abu Sufyan adalah anak dari bapa
saudara Rasulullah SAW dan dia juga anak saudaraku sendiri, walaupun Rasulullah
SAW kelihatan tidak menyukainya. Akan tetapi aku yakin, bahawa masih ada
harapan baginya untuk mendapatkan keredhaan Rasulullah SAW. Oleh kerana itu aku
memohon kepadamu supaya kamu berhenti dari mencaci makinya.
Mendengar ungkapannya dari
Abbas itu maka Nu’aiman berkata: “Baiklah, aku tidak akan mengganggunya lagi.”
Pada waktu
itu Abu Sufyan sungguh merasa menderita, kerana tidak ada seorangpun yang mahu
menegurnya. Walaupun demikian dia tetap berusaha, setiap kali Rasulullah SAW
singgah di sebuah rumah, ia tetap berada di depan pintu rumah tersebut. Namun
Rasulullah SAW tetap tidak pernah melihatnya dan memalingkan wajah dari
dirinya.
Walaupun dalam keadaan demikian, dia terus tetap berusaha untuk mendapatkan keredhaan dari Rasulullah SAW, sehingga akhirnya dia menyaksikan sendiri Rasulullah SAW bersama dengan pasukan kaum Muslimin lainnya menaklukkan kota Makkah.
Abu Sufyan
tetap terus berada dekat kuda yang ditunggangi oleh Rasulullah SAW sehingga
akhirnya baginda singgah di Abtah. Pada saat itu Rasulullah SAW memandang Abu
Sufyan dengan pandangan yang agak lembut dari sebelumnya, dan Abu Sufyan
mengharapkan mudah-mudahan Rasulullah mahu senyum kepadanya.
Beberapa
kaum wanita dari bani Abdul Mutalib datang menemui baginda yang diikuti oleh
isteri Abu Sufyan. Setelah itu Rasulullah SAW pergi ke masjid, Abu Sufyan pun
tetap setia mengikuti baginda dan tidak sedikitpun ingin berpisah dengannya.
Akhirnya
Rasulullah SAW berangkat menuju Hawazin dan Abu Sufyan pun masih tetap
mengikutinya. Pada waktu terjadinya peperangan melawan musuh, maka Abu Sufyan
pun segera memacu kudanya dengan sebilah pedang yang terhunus, dan ia bertekad,
untuk menebus dosa-dosanya selama ini, tidak ada jalan lain kecuali ia harus
mati dalam memperjuangkan agama Allah.
Melihat keadaan demikian,
kepada Rasulullah, Abbas bapa saudara Abu Sufyan bin Haris berkata: “Wahai
Rasulullah, aku bermohon supaya engkau berkenan meredhainya.”
Rasulullah SAW bersabda: “Aku
telah meredhainya dan Allah pun telah berkenan mengampunkan segala kesalahannya
dan segala bentuk permusuhan yang dilakukannya kepadaku selama ini.”
Mendengar
ungkapan Rasulullah demikian, maka Abu Sufyan pun segera mencium kaki
Rasulullah yang pada saat itu sedang menunggang kudanya. Maka pada saat itu
Rasulullah SAW menoleh ke arah Abu Sufyan dan bersabda: “Engkau adalah
benar-benar saudaraku!”
Selepas itu Rasulullah SAW
memerintahkan kepada Abbas agar memerintahkan kepada seluruh pasukan perang
supaya maju ke medan perang dengan kata-kata: “Majulah kamu dan binasakanlah
musuh-musuh itu.”
Kerana telah
mendapat perintah dari Rasulullah SAW, maka Abu Sufyan segera melaksanakan
tugasnya. Cuma dengan hanya sekali serangan saja, para tentera musuh berlari
kucar kacir. Mereka tidak berani membalas serangan tersebut, sehingga akhirnya
Abu Sufyan berhasil mengejar mereka dan tentera musuh lari sejauh tiga mil.
Demikianlah
Abu Sufyan, semenjak dia masuk ke dalam Islam, ia sentiasa taat beribadah
kepada Allah SWT bahkan dalam suatu riwayat pula dikatakan, bahawa Abu Sufyah
tidak pernah mengangkat kepalanya apabila ia berada di depan Rasulullah SAW.
Begitu juga pada waktu ajal akan menjemputnya ia berpesan: “Jangan engkau
menangisi aku, kerana semenjak aku masuk Islam, aku tidak pernah berbuat dosa.”
Setelah Rasulullah SAW
meninggal dunia, Abu Sufyan bin Haris selalu menangisi dan meratapinya dengan
syairnya:
Aku tidak dapat tidur dan malam pun susah berakhir
Malam bagi orang yang ditimpa bencana akan lama rasanya.
Tangisanku membuatkan aku bahagia
Sesungguhnya musibah yang menimpa kaum Muslimin itu tidaklah seberapa
Betapa besar dan beratnya cubaan ini
pada waktu mendengar berita bahawa Rasulullah sudah tiada
Bumi tempat tinggal kita inipun ikut serta menderita
sehingga terasa miring segala sudutnya.
Telah terputuslah wahyu Al-Quran dari kita
di mana dahulu malaikat Jibril selalu datang membawanya.
Dialah Nabi yang telah melenyapkan syak wasangka kita
dengan wahyu yang diturunkan kepadanya dan sabdanya
Bagindalah yang telah menunjuki kita
sehingga kita tidak perlu bimbang dan terpedaya
Rasulullah selalu siap memberikan petunjuknya kepada kita
Fatimah, jika kamu bersedih meratapinya, hal yang demikian itu dapat kami mengerti.
Akan tetapi jika engkau tidak bersedih, itulah jalan yang baik yang telah ditunjukkannya.
Makam ayahku adalah makam dari setiap makam
kerana di dalamnya bersemayam seorang Rasul
tuan bagi seluruh manusia.
Malam bagi orang yang ditimpa bencana akan lama rasanya.
Tangisanku membuatkan aku bahagia
Sesungguhnya musibah yang menimpa kaum Muslimin itu tidaklah seberapa
Betapa besar dan beratnya cubaan ini
pada waktu mendengar berita bahawa Rasulullah sudah tiada
Bumi tempat tinggal kita inipun ikut serta menderita
sehingga terasa miring segala sudutnya.
Telah terputuslah wahyu Al-Quran dari kita
di mana dahulu malaikat Jibril selalu datang membawanya.
Dialah Nabi yang telah melenyapkan syak wasangka kita
dengan wahyu yang diturunkan kepadanya dan sabdanya
Bagindalah yang telah menunjuki kita
sehingga kita tidak perlu bimbang dan terpedaya
Rasulullah selalu siap memberikan petunjuknya kepada kita
Fatimah, jika kamu bersedih meratapinya, hal yang demikian itu dapat kami mengerti.
Akan tetapi jika engkau tidak bersedih, itulah jalan yang baik yang telah ditunjukkannya.
Makam ayahku adalah makam dari setiap makam
kerana di dalamnya bersemayam seorang Rasul
tuan bagi seluruh manusia.
Comments
Post a Comment