Puasa beri kekuatan dalaman
Dalam
ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud:
''Apabila hambaKu bertanya tentang
Aku katakan (wahai Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang
yang meminta kepada Ku.''
Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti
akan dimakbulkan permintaannya. Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa
yang dihajati oleh orang yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara
Allah dan perancangan-Nya bukan perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan
Allah sama dengan perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa
pun yang pasti doanya termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk
manusia itu.
Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk
orang yang taat melakukannya tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui
sifat ikhlas. Amalan puasa adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan
atau minum dengan diam-diam mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja
yang tahu. Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada
Allah. Apabila kita membiasakan diri dengan ikhlas, kita bertambah yakin dengan
segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini Allah s.w.t.
sendiri yang akan membatas pahala orang yang berpuasa.
Ketahanan badan yang diperoleh melalui latihan
berlapar dalam puasa juga menghasilkan ketahanan mental dan rohani. Melalui
puasa dapatlah kita fahami bahawa seseorang menjadi kuat dan boleh bekerja
bukanlah kerana makan saja tetapi kerana keyakinan dan iman kepada Allah akan
menjadi nadi penggerak kepadanya. Ini terbukti dalam sejarah peperangan Badar
yang berlaku dalam bulan Ramadan ketika pertama kali orang Islam diwajibkan
berpuasa. Kekuatan seorang sahabat boleh bertambah menjadi kepada tenaga
kekuatan dua puluh orang hanya kerana keimanan yang jitu pada Allah. Walaupun
mereka sedang berpuasa musuh yang kenyang akhirnya tewas ditangan orang Islam
yang lapar dan sedikit jumlahnya.
Kesan kerohanian ini sebolehnya dikekalkan dalam
diri orang Islam. Dengan itu mereka dianjurkan meneruskan puasa sunat enam hari
dalam bulan Syawal supaya kekuatan rohani ini berkesinambungan. Bahkan untuk
menjamin kesan kerohanian ini lebih dirasai dan berterusan, dari sebelum
Ramadan orang Islam sudah mula berjinak-jinak dan berlatih melalui puasa Rejab
dan Syaaban.
Puasa Ramadan berbeza dengan puasa dalam bulan
lain. Ia penuh keberkatan, kedatangannya dialu-alukan dan pemergiannya
ditangisi. Jika manusia tahu apa yang terkandung daripada keberkatannya mereka
akan memohon supaya Ramadan itu sepanjang tahun. Sayang sedikit bagi kebanyakan
kita penekanan persediaan Ramadan ialah seolah-olah Ramadan terpaksa dilalui
untuk meraikan raya. Persiapan untuk raya melebihi daripada persiapan untuk
puasa., Seharusnya kita bersiap untuk puasa bersedia meningkatkan kekuatan
dalaman.
Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan rahmatnya
membuat kebanyakan orang terpanggil untuk membuat kebajikan dan menambah
ibadat. Orang yang jarang membuat amalan sunat pun akan sanggup sama-sama
berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling tidak pun mereka terpanggil ke masjid
untuk menikmatijuadah berbuka dan ''moreh'' selepas tarawih yang disedekahkan
oleh orang ramai.
Faktor pembangunan kekuatan manusia sebenarnya
adalah terletak pada tiga perkara utama iaitu akal, rohani dan jasmani. Semua
kekuatan ini dapat dibina melalui puasa. Akal menjadi kuat dengan pembacaan
al-Quran. Rohani dan jiwa pula kental dengan zikir dan istighfar. Fizikal badan
pula mendapat ketahanan melalui puasa.
Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan ibadat
yang lain. Kesannya tidak terlibat secara zahir. Ia lebih merupakan amalan
dalaman yang tersirat dalam diri seseorang. Ia berupaya memberi kekuatan
dalaman untuk pembangunan insan.


Comments
Post a Comment